Feb 17, 2021 - FASKelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC terus mendapat sokongan dari syarikat korporat hari ini apabila Agym Nutrition Sdn Bhd diumumkan sebagai Rakan Nutrisi Sukan Rasmi selepas selesai majlis menandatangani dokumen perjanjian kerjasama antara kedua-dua pihak, awal minggu lalu.
Perjanjian ini menyaksikan pihak syarikat yang ditubuhkan pada 2015 itu bakal membekalkan produk nutrisi seperti Titan Whey Protein, BCAA dan Creatine Monohydrate selama setahun untuk pasukan Selangor FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2021.
Untuk makluman, Agym Nutrition Sdn. Bhd. Merupakan pengeluar makanan sukan halal yang terkemuka di Malaysia dan Singapura. Makanan tambahan yang telah dirumuskan secara saintifik dan disahkan oleh JAKIM dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Produk terlaris mereka, Titan Whey dan Titan Mass telah digunakan lebih daripada 20 pusat kecergasan di seluruh Malaysia dan Singapura pada tahun lalu. Agym Nutrition juga merupakan penaja utama untuk acara bina badan paling tersohor, MR. ACT 2014 dan 2016.
Menurut Encik Abdul Hafiz, Ketua Pegawai Eksekutif Agym Nutrition, "Kami di Agym Nutrition berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada keluarga Gergasi Merah. Kami yakin bahawa kerjasama ini sedikit sebanyak akan membantu prestasi pemain Selangor untuk beraksi dengan lebih baik di atas padang."
"Kami yakin yang produk keluaran syarikat kami akan diterima dengan baik oleh pemain untuk meningkatkan keupayaan mereka. Insha Allah, jika Selangor FC mendapat kepercayaan dengan pengunaan produk kami, produk ini juga akan dipercayai oleh penyokong Selangor.”
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon turut senada menzahirkan rasa gembira dan berpendapat kerjasama ini akan memberikan impak positif kepada kedua-dua entiti.
"Agym Nutrition adalah satu jenama nutrisi tempatan yang dipercayai oleh lebih 20 pusat kesihatan dan kecergasan di seluruh Malaysia. Malah, kualiti mereka juga terbukti apabila produk mereka dapat menembusi pasaran ASEAN. SFC cukup berbangga kerana dapat berkerjasama dengan jenama besar ini,” jelas Dr.Johan.
“Sebagai langkah untuk memantapkan lagi skuad SFC, pada awal tahun ini kami telah melantik pegawai nutrisi untuk merangka dan memantau diet pemain kami. Jadi, apabila jenama pakar nutrisi tempatan ingin berkolaborasi dengan SFC, kami amat mengalu-alukan kerjasama ini.”
SFC sekali lagi ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Agym Nutrition Snd Bhd dan berharap perjanjian kerjasama ini dapat membuka lebih banyak mata syarikat lain di Malaysia khususnya di Selangor untuk turut menjadi rakan strategik Red Giants.
Sementara itu, skuad Selangor sudah kembali ke FAS Training Centre sejak Isnin lalu untuk berlatih setelah pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan latihan sukan seperti bola sepak disambung semula.
Pasukan Selangor FC dijangka akan memulakan kempen Liga Super 2021 mereka pada minggu pertama bulan Mac ini.
Demi kebanggaan!